Aku kembali menulis setelah usai menghantar Rifqi ke taska; dan juga selepas membaca komentar yang ditinggalkan oleh shah sulong (ya, dari menyemakkan benak, lebih baik aku berkongsi rasa di blog ini – terima kasih kawan!)
Bila difikirkan semula, rasa kelakar pun ada. Mungkin aku harus puji tindakan En. AF (ini, dia sendiri yang kata, walaupun aku kurang percaya) yang sanggup pergi ke JPA dan merujuk perkara ini dengan seorang pegawai yang dikatakan mahir. Bila aku bertanyakan nama pegawai tersebut, dia enggan menyebut namanya. Biarlah rahsia.
Tapi yang benar-benar kelakar adalah bila dia dengan yakinnya meletakkan surat pekeliling atas meja dan mendesak aku untuk dapatkan no. rujukan kitab yang aku gunakan. Mujur juga aku dah lama buat persediaan ( pada pendapat aku, desk officer mestilah mahir dengan tugas hakiki masing-masing), lalu aku keluarkan surat pekeliling yang sama dan lontarkan soalan cepumas pada En. AF :
“Sebelum datang berjumpa saya, saya nak tanya, En. AF faham atau tidak apa yang terkandung dalam surat pekeliling ni?”
En. AF tak menjawab dan terus menerus menyatakan pegangannya yang mengatakan bahawa perkara ini tak mungkin berlaku (En. AF percaya pada kata-kata pegawai JPA yang dirujuknya). Tambahnya, pegawai tersebut amat terkejut bila mendengar perkara ni berlaku sedangkan selama ni tak pernah pun ada kes begini.
Syukurlah aku sungguh diplomatik pada masa tu. Walaupun suara En. AF dah meninggi tapi aku berjaya juga kawal intonasi. Hehehe. Aku minta En. AF baca Para 38 dalam Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2005 dan jelaskan semula. Seminit dua juga masa diambil untuk berfikir. Bila dia buka mulut saja, jelas, memang dia tak faham. Aku pun pulangkan paku buah keras. Kadang-kadang aku rasakan orang yang terlampau melambung egonya harus ditundukkan juga – dengan hujah-hujah yang benar dan bernas.
Melihat keperibadian En. AF, tak mungkin dia nak mengaku atau menyerah kalah. Dia masih lagi membebel mengenai perkara-perkara yang langsung tiada kaitan dengan isu yang timbul. Berkat menghadiri mesyuarat psikologi dan kaunseling yang aku hadiri tiga bulan lepas, aku pinjamkan juga telinga mendengar muntahan kata-kata En. AF. Namun apa yang membuatkan telinga berdesing ialah bila mendengar tuduhan mengatakan pegawai-pegawai di Kementerian tidak efisyen. Aku tidak membalas, sebaliknya mengutuk dalam hati. Hehehe…
(Yelah, pemandu bolehlah cakap macam tu, tugas hakiki mereka hanya satu iaitu memandu, tugas hakiki pegawai pelbagai hinggakan kadang-kadang kerja yang tak habis di pejabat, kena bawa pulang ke rumah untuk diselesaikan <aku cuba menghindari diri dari menjadikan ini sebagai amalan>)
Di akhir sesi, En. AF tercari-cari alasan. Katanya oleh kerana dia sibuk hari ni, perkara ini dia biarkan sahaja, walaupun pada kebiasaannya dia tidak akan lepas tangan, sehinggalah isu yang timbul selesai. Aku menghantar dia pulang dengan senyuman sinis dan bertimbun-timbun makian dalam hati.
Hari tu, aku rawat hati yang bengkak dengan sesi luahan hati pada PSUK (yang dah naik pangkat jadi KPSU) dan PT-PT di Unit NPT) dan pada pendengar setia, Zam.
Inilah keseronokannya mempunyai kawan-kawan.
Komen terbaru