Majlis APC Tahun 2007 Kementerian usai sudah, lewat pagi tadi.
Namun yang janggalnya, aku masih gusar, seolah-olah program tersebut masih belum selesai. Yang mana tidak selazim tahun-tahun sebelumnya (sudah dua tahun aku menguruskan APC Kementerian)… Iya, seharusnya aku merasa lebih senang hati kerana tahun ini secara rasminya aku bukan lagi ’pegawai meja’ yang berkenaan. Tetapi entah mengapa, dada berdebar-debar menggetar perasaan.
Semenjak pagi semalam, aku hanya sempat melelapkan mata selama 10 minit. Itu pun terlena di depan komputer semasa waktu rehat tadi. Mata enggan terbuka, minda terlampau tepu. Dek kerana masalah bertimpa-timpa sepanjang gerak kerja program.
Seboleh-bolehnya aku enggan menuding jari kepada sesiapa. Kerana aku sedar, satu jari yang menuding ke arah seseorang, masih ada empat jari lagi menuding ke arahku. Walau bagaimanapun seandainya orang itu yang bersalah, aku rasakan perlu untuk ditegur demi menjamin kelancaran majlis.
Jujur kukatakan, berada di tempat dan Bahagian sekarang merupakan satu cabaran buat diriku. Cabaran dalam menjalankan tugas baru dan amanah yang telah dipertanggungjawabkan. Cabaran dalam menyesuaikan diri dengan new management. Daripada perkara-perkara ini, ingin kupetik kata-kata sahabatku Encik RIR lewat pertemuan kami petang semalam;
” Cabaran yang paling sukar untuk dihadapi dalam sesebuah organisasi adalah untuk menwujudkan social capital sesebuah organisasi itu sendiri”
Melihat senario terkini dan berdasarkan pemerhatian sepanjang gerak kerja majlis ini, kurasakan elemen togetherness dan trust di Bahagian ini masih goyah. Kufikir sekiranya benar-benar elemen-elemen ini menjadi tiang seri rumah HRD, semestinya sudah tiada lagi istilah ‘unit kami dan unit kamu’. Pelik tapi itulah yang berlaku. Kuperhatikan seolah-olah masing-masing sentiasa mencari peluang dan ruang untuk mengenakan sesuatu sama lain. Peluang untuk menjadi bintang di atas kecundangnya orang lain.
Sepanjang berada di HRD, inilah julung-julung kalinya kuberada di Kementerian ketika saat insan lain nyenyak dibuai mimpi dan ketika waktunya ayam jantan memulakan kokokkan di subuh hari. Malam tadi jua dapat kukenali rakan-rakan di kala susah dan senang. Rakan-rakan yang sanggup bersekang mata, meminjamkan kudrat untuk menyelesaikan perkara yang masih terbengkalai.
Malam tadi jua aku diperlihatkan dengan sikap rakan-rakanku yang meletakkan kepentingan peribadi melebihi daripada kepentingan perkhidmatan. Kusifatkan mereka ini kurang nilai rasa empati . Malang sekali! Tidak perlu aku sebutkan siapa mereka, cukuplah sekadar kucoretkan sebagai peringatan. Buat diriku khususnya dan yang lain amnya.
Ingin jua kukhabarkan,
Majlis kali ini mengundang kata-kata kurang enak di kalangan sebilangan warga. Kebanyakkannya mengenai senarai penerima dan perjalanan program. Aku tiada komen mengenai perkara pertama kerana keputusan Panel Pembangunan Sumber Manusia adalah muktamad. Berkaitan perkara seterusnya, benar; kuakui masih banyak ruang-ruang untuk diperbaiki. Yang tulusnya, kami di HRD mengharapkan kritikan yang membina dan cadangan yang bernas untuk sebaik boleh menjadikan majlis ini pada tahun seterusnya lebih gemilang.
Kurasakan cukup sudah bicara kali ini. Kusambung kemudian, ya.
Buat masa ini aku ingin menyahut seruan Illahi, mengadap Penciptaku memohon ketenangan jiwa.
Komen terbaru