Lewat tengahari semalam, aku dikejutkan dengan berita sedih dan memilukan hati. Salah seorang sahabat OneZeroFivers sedang meratap kehilangan anak sulungnya yang baru berusia enam (6) bulan. Aku termangu seketika selepas menerima perkhabaran itu dari jiran sebelah rumahku menerusi YM. I find it hard to digest the news.
Tengahari itu, Ayue memberi perkembangan terkini dan serba ringkas keadaan di hospital. Katanya sahabat OneZeroFivers itu dan isterinya sudah tenang dan redha dengan pemergian anak kesayangan mereka. Tersentuh benar hati bila mendengarnya.
Alhamdulillah, lewat petang semalam setelah selesai tugas di pejabat, aku tergerak hati untuk menelefon sahabatku. Panggilan telefon diangkat oleh isterinya. Katanya mereka masih dihospital. Lantas kuajak jiranku (sepanjang bulan puasa ini, kami berkongsi kereta ke pejabat) pergi ke sana segera. Mujur jua Allah mempermudahkan laluanku, kebetulan jua Yeye (Cu Yen) tiba di rumah sejurus selepas kami sampai. Rifqi kutinggalkan bersama Yeyenya. Mujur juga si kecil faham.
Kami bergerak pantas ke hospital; terus menuju ke Bilik Mayat. Suasana hening meyelubungi. Di atas pelantar, aku lihat jenazah sedang dimandikan. Ibu dan Ayahnya ada disisi. Si ibu menyambut ziarah kami dengan senyuman dan ucapan terima kasih kerana sudi menziarah. Aku tidak mampu menahan air mata lagi melihat ketabahannya. Ya Allah, Kau kurniakanlah kesabaran kepada mereka berdua. Aku hanya mengangguk tatkala isterinya berkata-kata.
Menurut isterinya, mereka telah membuat perancangan untuk ke Indonesia dalam sedikit masa lagi kerana adiknya akan bergraduat. Tiket telah pun dibeli; namun mungkin tiada rezeki katanya. Aku masih mengangguk dan terusan menitiskan air mata. Aku lihat isterinya jua membendung air mata dari gugur.
Kemudiannya kami semua terdiam, sunyi seketika.
Isterinya berkata lagi. Katanya baru-baru ini mereka telah membeli banyak lampin bayi berikutan ada jualan murah, untuk dibuat stok. Sekarang, tanpa adanya permata hati mereka, katanya dia tidak tahu apa yang hendak dibuat dengan stok lampin tersebut. Dan aku masih lagi mengangguk dan terus-terusan menitiskan air mata. Aku lihat isterinya jua masih cuba membendung air mata dari gugur.
Kemudiannya kami terdiam lagi, suasana hening.
Hanya kedengaran bunyi air yang dijirus ke badan jenazah.
Sekali lagi isterinya berkata-kata. Katanya, mereka ada membuat perancangan untuk mengabadikan potret mereka bertiga di Pasar Seni, namun masih belum berkesempatan. Agak terkilan katanya. Sekali lagi aku mengangguk dan menitiskan air mata. Sambungnya lagi, “Tadi saya ada bercakap dengan suami, pesan kami pada Fique, sekiranya ada apa-apa perancangan yang hendak dibuat bersama-sama anak, teruslah laksanakan, jangan bertangguh, nanti menyesal.” Dan kali ini aku betul-betul menangis.
Ketika petugas memberi peluang kepada pasangan suami isteri itu untuk memandikan anak mereka buat kali terakhir, sayu dan hiba betul hati bila melihat isteri mengusap-usap kepala jenazah anak mereka dan menyapu titisan air di wajah jenazah. Menunjukkan betapa kasihnya dia terhadap anak itu. Selepas ini tiada lagi senyuman dan ketawa anak ketika diagah. Tinggallah Ibu dan Ayah sendirian.
Selesai memandikan, isterinya berkata lagi. Menurutnya, dia nampak anaknya seperti sedang tidur, tenang dan aman. Aku terdiam. Sambungnya lagi sambil tersenyum; sebelum ini katanya dia yang akan memandikan anaknya, dan kali ini dia melihat orang lain pula melakukannya. Aku terdiam lagi.
Petang hening itu, aku menyaksikan jenazah anak mereka dimandikan, dikafankan, disembahyangkan dan dipangku untuk dibawa pulang ke rumah, iaitu sebelum dikebumikan di Presinct 20 pada jam 9 malam. Dan petang itu jua, aku menyaksikan ketabahan kedua-dua orang sahabatku ini yang bergelar Ibu dan Ayah menghadapi dugaan di bulan Ramadhan. Dugaan yang aku sendiri tidak pasti samada akan mampu kulalui.
Buat Arman dan Ima; salam takziah kuucapkan. Ketahuilah, bahawa anak suci itu akan menanti Ibu dan Ayahnya di pintu Syurga.
Amin.










Komen terbaru