Ini cerita semalam, tapi masih belum basi; sebabnya aku masih lagi terasa kesengalannya.
Senario : Mesyuarat di Aras Kayangan
Sebelum tiba hari mesyuarat yang mana tidak akan disertai oleh Immediate Boss kerana bercuti, aku sudah dapat merasakan bahangnya. Aku dah tanamkan niat untuk menjaga kemurnian dan kesucian mesyuarat dengan tidak mengeluarkan kata-kata kesat (apatah lagi ini bulan Ramadhan); walaupun kukira makian itu hanyalah monolog dalam hati atau berbentuk contengan di atas kertas.
Namun, bila tiba hari kejadian, aku pasrah. Perkara yang dirancang menjadi sebaliknya. Kucar kacir! Tiada smooth sailing seperti yang aku harapkan. Harapan tinggal harapan. Ketua yang sepatutnya memimpin telah menekan dan mengecilkan peranan urus setia. Banyak perkara yang dihighlightkan kekurangan/kesalahan ditudingkan jari ke arah – siapa lagi : urus setia lah.
Aku tersepit antara keputusan untuk membiarkan urus setia terus-terusan disalahkan atau untuk menegakkan kebenaran yang sekali gus akan menjatuhkan maruah Ketua. Mungkin juga kerana semangat dari rakan sepasukan, aku mengambil keputusan untuk bersuara. Tindakan yang secara automatik mengecilkan Ketua di pentas Mesyuarat di dalam Meeting Room, Aras Kayangan tersebut.
Tiada kekesalan. Hanya kerana aku merasakan sekiranya Immediate Boss ada, dia akan turut menuruti jejak itu. Yang menjadi persoalannya : Tidakkah ada sekelumit rasa tanggungjawab dan kesedaran dalam diri Ketua kerana sepatutnya kekurangan/kesalahan yang dengan lantang dibebankan ke bahu urus setia adalah sebenarnya menggambarkan kelemahan kepimpinan dia sebagai seorang Ketua?
Dan,
Lewat petang semalam, aku menerima satu perkhabaran dari Ketua. Perkhabaran yang kukira lebih bersifat peribadi dan tidak menonjolkan profesionalismenya dalam menjalankan kerja. Terikat dengan terma ‘Saya Yang Menurut Perintah’, aku akan laksanakan semuanya. Dan aku tidak risau kerana segalanya berbentuk hitam putih. Kali ini biarlah aku menyerahkan bebanan yang ditanggung kepada Ketua, kerana dia layak untuk belajar menjadi lebih bertanggungjawab.
Semoga dia akan berubah.
Insyaallah.
Walaupun aku tidak memasang angan-angan besar yang perkara ini akan terjadi….
Nota : Maafkan aku, aku tidak senang menggunakan kata ganti nama diri ketiga ‘beliau’ untuk Ketua, lalu aku gantikan dengan ‘dia’. Kata ganti nama diri ketiga ‘beliau’ (pada firasatku) hanya sesuai untuk seseorang yang wajar dihormati. Maaf sekali lagi.
Terima kasih kawan!
Terima kasih juga kepada suami yang sudi meminjamkan telinga mendengar luahan seawal pagi tadi…







Komen terbaru